Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
MUTIARA HADITH
Kategori : AKIDAH Akhlak Usuluddin
Tajuk : Tujuh Golongan Insan Contoh
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah
di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang
naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah:
Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan
ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan
masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya
berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang
dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya
lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang
bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui
apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau
mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain,
lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal
Allah.”
(Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Huraian :
1) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :
a) Pemerintah yang adil -
Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam
melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah
mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua
rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah
amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim
dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya
– Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup
seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda
seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa
hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan
penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga
berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah
pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya
itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada
agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid -
Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki
yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan
diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang
hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk
beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah -
Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat
sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya
adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya
ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas
kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan
keberkatan daripada-Nya.
e) Orang
yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu
(berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada
Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah
berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah
mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah
terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan
zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya -
Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah.
Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang
dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin
menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang
ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang
dilakuknnya itu.
g) Orang
yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam
ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan
sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan
Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati
tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang
Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar
daripada perkara-perkara yang melalaikan.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia